Mujahadah Cinta

Thursday, June 23, 2011

ANAK :- Kurniaan dan Pinjaman

Anak-anak adalah cahaya mata
Penghibur hati, penyejuk mata,
Nikmat Allah yang paling bahgia,
Amanah Allah yang mesti dijaga.
Di asuh dan di pelihara, mencuaikan nya adalah dosa
zahirnya ibu bapa yang mendidik mereka,
hakikatnya adalah Tuhan yang esa yang membimbing mereka dengan bijaksana……






Antara lelaki dan perempuan itu tercipta kasih sayang yang dizahirkan melalui perkahwinan, sebuah ikatan yang halal lagi mencukupi separuh keimanan seorang mukmin. Dan dalam perhubungan perkahwinan, pastinya  kehadiran cahaya mata serta tawa dan tangis mereka dilihat sebagai perkara yang melengkapi dan menghiasi perkahwinan itu.

Anak-anak merupakan aset ibu dan ayah. Ketika kecil ditatang bagai minyak yang penuh, sampaikan apabila ke tempat kerja pun tak sabar mahu segera pulang ke rumah, bertemu dengan anak yang dirindu biarpun ditinggalkan sekejap cuma. Bukan pasangan suami isteri sahaja yang kepingin kehadiran bayi sebagai penyeri rumah tangga, bahkan gadis-gadis juga akan terserlah naluri keibuan mereka apabila ketemu anak kecil. Anak kecil, diagah dan diacah sepuas mungkin. Begitulah seronoknya apabila anak kecil menemani kehidupan sehari-hari. Anak-anak merupakan KURNIAAN Tuhan paling berharga buat setiap manusia di dunia ini, memanjangkan zuriat dan menjadi jaminan masa hadapan.

Menurut Hadits Qudsi:
  Allah SWT berfirman pada hari kiamat kepada anak-anak:
  "Masuklah kalian ke dalam syurga!"
  Anak-anak itu berkata: "Ya Rabbi (kami menunggu) hingga ayah ibu kami masuk."
  Lalu mereka mendekati pintu syurga! tapi tidak mahu masuk ke dalamnya. Allah berfirman lagi: "Mengapa, Aku lihat mereka enggan masuk? Masuklah kalian ke dalam syurga!" Mereka menjawab: "Tetapi (bagaimana) orang tua kami?" Allah pun berfirman: "Masuklah kalian ke dalam syurga bersama orang tua kalian." 
(Hadits Qudsi Riwayat Ahmad dari Syurahbil bin SyuaĆ­ah yang bersumber dari sahabat Nabi SAW)


 Hak-hak terhadap anak
Dikisahkan pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya. Tiba-tiba si anak pun bertanya kepada Umar katanya: Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada mempunyai hak-hak atas ayahnya?
Jawab Umar: Bahkan ada! Berkata si anak "Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Berkata Umar:Memilih ibu yang baik, memberikan nama yang baik serta mengajarnya membaca Al-Quran.Berkata si anak:Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran. Lalu Umar berkata kepada ayahnya: 'Jika demikian, kamu telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepada mu.'
Seorang ayah seharusnya melaksanakan hak-hak seorang anak terlebih dahulu. Kadang-kadang kita tersalah faham, pendidikan anak-anak bukan bermula ketika si anak sudah dilahirkan, tetapi pendidikan mereka dan hak-hak mereka yang perlu ditunaikan sudah pun bermula di awal pemilihan seorang calon isteri atau ibu kepada si anak atau dengan kata lain ketika mencari jodoh.
Bahkan saya kira perlu terlebih awal daripada itu lagi, kerna seandainya seorang lelaki ingin mendapatkan isteri yang solehah, dia seharusnya terlebih dahulu menjadi seorang lelaki yang soleh dan begitu juga dengan wanita.
Sebelum seseorang jejaka membuat keputusan tentang pasangan hidupnya, perlu diingat bahawa pasangan itu adalah bakal ibu kepada anaknya dan sebelum seorang gadis membuat pilihan dia juga perlu ingat bahwa lelaki itu adalah bakal bapa kepada anak yang dilahirkan nanti. Lantas konklusinya, tarbiyyah anak itu bermula seawal tarbiyyah seorang ibu dan bapanya.
Naluri terhadap anak-anak
Naluri adalah perasaan yang dicetuskan oleh Allah s.w.t dalam hati ibu-bapa daripada sifat cinta, belas kasihan dan rahmat. Menurut Abdullah Naseh Ulwan dalam buku beliau ‘Tarbiyatul Aulad Fil Islam’, naluri kedua ibu-bapa terkerah di atas kecintaan terhadap anak yang dilahirkan, berakar umbi di dalamnya segala sifat-sifat belas kasihan, rahmat, kecenderungan memeliharanya dan pengorbanan yang tidak terhingga. Seandainya naluri ini tidak ada, nescayalah seorang ibu dan ayah tidak mampu bersabar dalam mendidik anak-anaknya.
Hati yang sepi daripada rahmat akan menyebabkan tuannya bersikap kasar, keras dan kejam. Sifat-sifat yang buruk ini juga terbawa-bawa kepada si anak, tersungkur dalam kekotoran sifat-sifat yang keji.
Rasulullah s.a.w amat menitikberatkan akan sifat rahmat dan kasih sayang apatah lagi pada si kecil.
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Bukan dari golongan kami, siapa yang tidak merahmati yang kecil di antara kita, dan mengenal hak yang besar di antara kita.” (Riwayat Abu Daud & At-Tirmidzi)
“Rasulullah s.a.w telah mencium Al-Hasan bin Ali (cucunya), dan di waktu itu Al-Aqra’ bin Habis sedang duduk bersamanya. Maka berkata Al-Aqra’: Sesungguhnya saya mempunyai sepuluh orang anak, dan saya tidak pernah mencium seorang pun di antara mereka. Rasulullah s.a.w menoleh kepadanya, seraya bersabda: Siapa yang tidak membelasi (orang lain), niscayalah dia tidak akan dibelasi.” (Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a)
Setiap kelahiran itu adalah amanah dan tanggungjawab yang besar buat ibu dan ayah.
Anak-anak adalah cahaya hati, yang bakal menjadi ‘harta’ kita didunia dan aset kita di akhirat kelak. Baiknya kita, maka baik lah didikan kita pada mereka, membesarlah mereka dalam suasana yang sihat dan sempurna, diberikan didikan secukupnya, diajar mengenal Allah dan Rasul, dimengertikan kenapa kita wajibnya Islam. Maka bakal membesarlah seorang individu yang membawa ‘cahaya’ ke dunia penyambung dakwah Rasul dan para sahabat.
Sewajarnya kita sentiasa berdoa semoga dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan diberikan kekuatan buat kita untuk membesarkan mereka dengan sempurna untuk dunia mereka dan akhirat mereka.
Doa-doa agar diri dan zuriat diterima sebagai hamba yang taat dan mendapat zuriat yang baik (Sumber: Buku Doa Menjadi Pengantin Baru Setiap Hari oleh Ust Zahazan Mohamed & Mohd Azrul Azlen Abd Hamid)
“Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Al-Baqarah: 127-128)
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku daripada sisi-Mu zuriat yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.” (Al-Imran: 38)
“Wahai Tuhan kami, berilah kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.” (Al-Furqan: 74)


No comments:

Post a Comment